IPOH - Sebanyak 200 Jalur Gemilang diagihkan kepada penduduk dan premis yang dikenal pasti di sekitar Simpang Pulai, Taman Bersatu dan Kampong Sengat di sini bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2022 semalam.

Edaran tersebut merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan Zon 24.

Ahli Majlis Zon 24, Kaunselor Azmi Murad Mohamad Yusof berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).

Katanya, program tersebut bermula pukul 8.30 pagi.

"Hari ini bersama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) mengadakan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang Peringkat Zon 24.

"Program bermula dengan melekatkan Jalur Gemilang pada kereta-kereta JPP sebelum bergerak dari dari Masjid Jamil Al Kholidi Kampong Sengat ke lokasi-lokasi yang telah diatur," katanya kepada Peraktastic.


Antara lokasi tersebut ialah ke masjid-masjid, surau-surau dan rumah ibadat, premis perniagaan, balai polis, balai bomba serta sekolah dalam Zon 24 MBI.

Azmi Murad berkata, program itu bertujuan menyemarakkan semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang mungkin suram selepas fasa endemik.

"Kita harap kempen kibar Jalur Gemilang ini menjadi pembakar semangat untuk kita semua khususnya komuniti daripada pelbagai latar belakang supaya tidak melupakan ulang tahun kemerdekaan negara.

"Program ini juga adalah wadah terbaik untuk memberi inspirasi kepada rakyat terutama generasi muda supaya menghargai dan mengekalkan keamanan tanah air," ujarnya.