KUALA KANGSAR: Kekurangan diri bukan satu halangan meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelukis jalanan demi sesuap nasi.

Lee Chee Hung, 24, pemuda berbangsa Cina yang dilebih dikenali sebagai ‘Afiq’ dikalangan penduduk setempat, sedikitpun tidak kekok untuk mempromosikan dirinya menerusi risalah iklan khidmat melukis potret di sekitar kawasan Lembah Kuala Kangsar.

Menaiki bas dari rumahnya di Sungai Siput ke Kuala Kangsar saban hari adalah rutin harian Afiq demi membuktikan kegigihannya sebagai pelukis jalanan yang harus  bertarung nasib mendapatkan tempahan melukis sebagai sumber pendapatannya.

Melalui perbualan bersamanya, difahamkan pemuda ini merupakan insan berkeperluan khas atau orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran. Cara perbualannya yang kurang jelas dan perlu didengar dengan teliti tenyata dia seorang yang yang sangat istimewa.

Afiq berkata, dia mempelajari bidang seni melukis potret ini di SMK Muhibbah@ Sekolah Seni Malaysia Perak dan mula menghasilkan potret berunsurkan kartun.

Walaupun agak sukar memahami isi butir bicaranya, namun dia kerap memberitahu dia ada menyediakan khidmat melukis potret kepada sesiapa yang berminat, dengan disediakan nombor telefon di risalah tersebut.

"Nama sebenar saya Lee Chee Hung tapi ramai kawan-kawan Melayu dan orang di sini panggil Afiq. Mereka kata lebih mudah nak sebut.

"Saya ada buat lukis potret, orang ramai boleh datang ke sini (Lembah Kuala Kangsar), atau pasar malam Taman Lintang, Sungai Siput dengan kadar bayaran tertentu mengikut jenis," katanya.

Menurut salah seorang rakan pelukis di situ, Rahim atau dikenali sebagai Angah, Afiq mempunyai bakat tersendiri dan walaupun dengan keadaan sedemikian dia gigih mencari rezeki dengan usahanya.

Katanya lagi, bakatnya itu boleh diasah ke peringkat lebih tinggi, kerana dia ada kemahuan dan menunjukkan minat mendalam dengan seni lukisan.

"Saya mengenali Afiq sejak lima bulan lalu, waktu itu saya baru saja menjadi pelukis jalanan di Lembah Kuala Kangsar.

"Memang diakui dia ada masalah dari segi percakapan atau perbualan kerana dia seorang insan berkeperluan khas. Tetapi dia boleh berdikari sendiri dan tidak gugup berdepan dengan orang ramai.

"Melalui perbualan sebelum ini katanya dia berulang dari Sungai Siput ke Kuala Kangsar menaiki bas, ada hari-hari tertentu," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai bidang pelukis jalanan di Perak, Angah berkata ia masih lagi belum dilakukan secara meluas, berbanding di negeri lain.

Sebelum ini katanya, dia sudah meneruskan aktiviti melukis di Ipoh, namun pulang ke kampung halaman di Kampung Jerlun Tambahan, di sini dan meneruskan kerjaya sebagai pelukis jalanan.

"Mula-mula melukis ini memang agak payah, lama kelamaan bila belajar lebih mendalam melalui Youtube barulah dapat hasil potret yang terbaik," katanya.

Sementara itu, bekas pengetua SMK Muhibbah@ Sekolah Seni Malaysia Perak, Fadhilah Hawari yang mengenali bekas pelajar sekolah itu berkata minat anak muda itu dalam bidang lukisan sangat mendalam.

"Dia masuk (sekolah) dari umur 15 tahun sampai 19 tahun untuk murid pendidikan khas. Dia memang suka pakai baju Melayu, lagi-lagi bila Hari Raya.

"Dia memang ada masalah pembelajaran, tetapi memang dia suka melukis di sekolah dulu, sampailah sekarang. Harapnya dia berjaya mencapai impiannya dalam bidang itu," katanya lagi.

Kepada yang ingin menyokong dan mendapatkan perkhidmatan Afiq, bolehlah menghubungi terus ke talian 011-2154 4286. -Peraktastic-