KAMPUNG GAJAH - Sememangnya tiada had usia pada sesiapa yang ingin mencari sumber pendapatan menerusi aktiviti akuakultur termasuk mereka yang tiada pengalaman tetapi berani berusaha.

Menyedari ada risiko, namun ia dijadikan sebagai cabaran tersendiri pada warga emas, Ishak Yeop, 73, yang mengusahakan ternakan ikan sangkar di Kampung Bandar Lama di sini.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Harun dalam kalangan penduduk setempat, dia percaya belum terlambat bagi individu seusianya untuk menceburi bidang tersebut.

Bagi Pak Harun, walaupun dia tidak mempunyai pengalaman kerana sebelum ini menjalankan kerja sebagai tukang rumah, namun semuanya dilalui menerusi bantuan daripada rakan-rakan terdekat.

Ketika ini dia mengusahakan enam buah sangkar ikan yang terletak di tepi Sungai Perak di kampung tersebut.

"Ternakan ikan sangkar ini dimulakan sejak lima bulan lalu terdiri daripada ikan tilapia merah dan patin.

"Secara purata setiap sangkar mempunyai kira-kira 8,000 ekor ikan.

"Walaupun ada cabaran tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk memulakan sesuatu yang baru," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut jelas Pak Harun, pada setiap musim atau tangkapan, dia boleh menjual kira-kira 8,000 ekor ikan bergantung kepada permintaan pelanggan.

Katanya, ketika ini dia memasarkan ikan-ikan tersebut sendiri untuk pasaran tempatan yang dijual mengikut harga semasa.

Bagi urusan harian, Pak Harun turut dibantu anaknya, Mohd. Rostam, 34.

"Pada masa ini permintaan ikan sangkar sangat baik.

"Saya juga sedang mencari pasaran baharu termasuk dari luar Perak sekiranya ingin mendapatkan bekalan ikan-ikan sangkar segar," ujarnya.

Pada pihak yang ingin memperolehi bekalan ikan sangkar dari Sungai Perak ini bolehlah menghubungi Pak Harun ditalian 019-4920480 atau 019-5184831 (Mohd. Rostam).