IPOH - Seramai lapan usahawan Perak berpeluang untuk membawa produk mereka ke Ekspo Malaysia Fest 2022 di Changi, Singapura yang akan berlangsung pada 25 sehingga 28 Ogos ini.

Antara syarikat yang terlibat adalah Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd, Nab Food Industries, Shahrinie Food Industries, Delcasis Group Sdn. Bhd, Che Din Food Industries, Royal Rendang, Leo Snack & Nuts Industry dan Jamilah Mansor Enterprise (M) Sdn Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin berkata, para usahawan tersebut dipilih berdasarkan kemampuan dan kapasiti pengeluaran.

Menurut beliau, penyertaan usahawan ini menepati fokus program selain membawa imej produk negeri Perak ke pasaran Singapura.

“Kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Perak telah bersetuju untuk menaja sebahagian kos penglibatan usahawan Perak ini.

“Bagi edisi 2022 untuk penganjuran kali ke-5, kita menyasarkan jualan berjumlah RM80,000 dan jualan potensi sekurang-kurangnya RM1 juta dapat direalisasikan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelepasan produk Perak selaku mewakili Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Isnin lalu.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Halizah Sipun; Pengarah FAMA negeri Perak, Norsham Ramly dan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Mohamad Roslan Mohamad Razalli.

Turut hadir ialah Pengarah Pertanian negeri Perak, Norsiyenti Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Yahanis Yahya.

Ini juga adalah satu fokus yang telah digariskan di bawah program flagship Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu untuk meningkatkan penglibatan keusahawanan di peringkat daerah.

Selain Perak, negeri lain yang terlibat juga adalah Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Terengganu dan Sarawak.