IPOH - Peniaga dan penyewa premis perniagaan di Jalan Pengkalan Barat off Jalan Pasir Puteh di sini boleh menarik nafas lega apabila aduan tentang longkang tersumbat mendapat perhatian.

Ia susulan kerja-kerja membersihkan longkang yang telah dijalankan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pihak vendor dilantik.

Ahli Majlis MBI, Kaunselor Tony Khoo Boon Chuan menerusi hantaran pada laman Facebook memaklumkan, pihaknya telah turun padang bagi melihat kerja-kerja yang dilakukan.

"Pada Rabu lepas saya telah melihat sendiri kerja-kerja penyelenggaraan longkang tertutup yang sedang dilaksanakan oleh Puncak Emas Infra Sdn. Bhd.(PEISB).

"Kerja-kerja ini telah dijalankan oleh petugas
PEISB dan MBI dengan menggunakan 'vacuum' dan 'jetter' bagi menyedut sampah dan kotoran dalam longkang," ujarnya dalam hantaran itu.

Sehubungan itu, Tony Khoo mewakili penyewa dan penjaga di kawasan tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin serta pihak-pihak yang terlibat membantu.