LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak telah merampas 50 set bubu naga di kedudukan 2.7 batu nautika barat Tanjung Hantu, sekitar jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong telah mengesan kewujudan bubu naga di sekitar kawasan berkenaan.

"Kesemua 50 set bubu naga yang dijumpai itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan pemasangan apa-apa belat ikan.

"Peralatan perikanan atau peranti menggumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Hambali berkata berdasarkan rekod APMM Perak, sejak Januari hingga Julai 2022 sebanyak 680 set bubu naga dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 75,360 telah direkodkan menerusi pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Kuala Kurau, Pulau Talang dan Pantai Remis.

Katanya lagi, penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab di perairan Perak boleh menganggu habitat marin untuk jangka masa panjang.

"Ini akan menyebabkan ekosistem marin terancam, terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan boleh mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

"APMM Perak bimbang, sekiranya kegiatan penggunaan bubu naga ini masih diteruskan, populasi habitat marin di negeri ini bakal berkurang dan generasi akan datang bakal terkesan.

"Meskipun penguatkuasaan dibuat dan bubu dirampas, namun penggunaan bubu naga di laut sukar dibendung kerana ianya digunakan secara pasang dan tinggal menyebabkan tiada siapa pun antara penggunanya datang menuntut peralatan tersebut.

"Peralatan yang dirampas juga mudah didapati di pasaran terbuka serta boleh dibeli. Rondaan penguatkuasaan yang dilaksanakan juga tidak cukup untuk membendung aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti ini dan komuniti maritim setempat juga digesa untuk lebih sedar akan kemudaratannya," katanya lagi.

Beliau berkata ketua-ketua komuniti maritim setempat di Perak juga diminta untuk bersama-sama menasihati komuniti serta menjadi mata, mulut dan telinga kepada masyarakat setempat dengan sentiasa menyampaikan pesan dan berkempen agar penggunaan bubu naga ini dihentikan.

Untuk sebarang maklumat atau aduan mengenai salah laku dan kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk tindakan.