IPOH: Pelaksanaan denda RM1,000 tanpa rayuan bagi pembuang sampah haram baru-baru ini dilihat memberi impak besar khususnya kepada alam sekitar di bandar raya ini.

Tentu sahaja ramai yang mulai buka mata dan sedar dengan padah yang menanti mereka jika masih berdegil serta tidak mahu mengubah sikap.

Menurut Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 14, Prof Dr Richard Ng, beliau sendiri dapat melihat perubahan positif di kawasan yang dahulunya sering menjadi tumpuan atau lokasi sampah haram.

Katanya menerusi hantaran di Facebook, MBI mengambil pendirian tegas dalam menangani isu berkenaan, yang sebelum ini sudah berlarutan sekian lama.

"MBI serius dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah haram. Sudah tentu semua sedia maklum, sampah sepatutnya di buang dalam tong yang disediakan.

"Penguat kuasa yang terbabit berjaya mengenal pasti dan mengenakan denda RM1,000 kepada pesalah yang didapari membuang sampah haram.

"Selang beberapa hari operasi itu dilakukan, saya gembira apabila melihat tapak sampah haram di Desa Tambun Indah bersih dan bebas sampah," katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan dan berharap supaya masyarakat turut sama membantu MBI dengan melaporkan pelaku yang tidak bertanggungjawab di persekitaran masing-masing.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 15 individu dikenakan kompaun RM1,000 kerana membuang sampah haram di sekitar bandar raya ini, setakat 12 Ogos.

Walaupun sudah diberikan amaran dan hebahan berhubung denda tanpa rayuan itu sebelum ini, namun masih ada segelintir individu yang dilihat bersikap acuh tak acuh dan pentingkan diri sendiri.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya tegas dalam melaksanakan kompaun itu, dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.