IPOH - Sebanyak 10 buah sekolah terpilih menerima sumbangan tong sampah untuk mempergiatkan lagi aktiviti kitar semula dalam kalangan murid-murid sekolah.

Penyerahan dilakukan oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud pada Program Ipoh Car Free Day di persiaran Bandaraya pagi tadi.

Amalan kitar semula perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandaraya ini bagi meningkatkan kualiti persekitaran supaya sasaranMenuju Ipoh Bersih tercapai MIB 2023.

Menurut Rumaizi, program ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada semua warga sekolah tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, ini dapat meningkatkan tahap kesedaran murid-murid tentang amalan kitar semula bahan-bahan buangan seperti kertas, kaca dan logam yang terdapat dipersekitaran sekolah dan rumah supaya yang 'terbuang menjadi wang'.

"Amalan kitar semula juga boleh mewujudkan ekonomi kitaran 'Circular Economy' yang memberi impak positif dalam usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar dalam jangka masa panjang.

"Melalui penganjuran program seperti ini adalah diharapkan ia dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama antara semua pihak berkepentingan bagi menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar.

"Ia selaras dengan dasar kerajaan negeri dengan tema 'Perak Bumi Lestari' manakala tema sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 pula ialah 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama'," katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Penyediaan infrastruktur kebersihan oleh MBI semata-mata tidak memadai sekiranya penduduk tidak dilibatkan sama dalam soal pengurusan kitar semula.

Sehubungan itu, MBI ingin mendidik wargakota Ipoh ke arah membudayakan penjagaan alam sekitar dengan menjadikan sekolah sebagai contoh.

Ini juga dapat mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar.

Jelas Rumaizi lagi, dalam masa yang sama ia juga dapat menyemai dan menggalakkan perasaan cintakan alam sekitar dalam kalangan murid.

"Menerusi program ini juga diharap wargakota Ipoh dapat menjadikan amalan kitar semula sebagai satu budaya seawal dari sekolah rendah.

"Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan keindahan persekitaran," jelasnya.

MBI juga berharap wargakota Ipoh akan bersama-sama MBI dalam membudayakan kitar semula dalam menjaga alam sekar.