Ipoh- Ipoh Car Free Day (ICFD) siri Ke-54 menyaksikan seramai 5000 orang dari berbilang kaum berkumpul seawal pagi untuk menyertai pelbagai acara menarik yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud berkata acara ICFD kali ini paling meriah dan mendapat sambutan yang diluar jangkaan dari semua lapisan masyarakat.

Kita mengambil tema ICFD bersempena hari kemerdekaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang selaras dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia sebagaimana diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Yaakob.

Program Ipoh Car Free Day dengan slogan Gaya Hidup Lebih Bersih, Hijau dan Pintar ini, juga bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran dikalangan wargakota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Diharapkan kesedaran itu semakin meningkat dikalangan komuniti serta sentiasa mengamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual selepas pelepasan tiga acara iaitu Family Fun Ride (13 Kilometer), Family Fun Run (5 Kilometer) dan Family Fun Walk (3 Kilometer) Sempena Majlis Ipoh Car Free Day Bulan Ogos 2022 di Persiaran Bandaraya / Jalan Sultan Abdul Jalil (Greentown), Ipoh di sini pagi tadi.

Perarakan Hari Kebangsaan yang disertai seramai 500 orang kanak-kanak dari Persatuan Taska Perak (PTP) dan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) merupakan acara kemuncak yang mendapat perhatian pengunjung.

Perarakan sejauh 500 meter itu turut diiringi oleh para guru dan ahli keluarga sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Selain itu acara melukis juga dilangsungkan dengan penyertaan seramai 50 orang. Perserta terdiri dari kanak-kanak sekolah rendah. Acara Cosplay yang berkonsepkan watak animasi kanak-kanak tidak kurang mencuri perhatian pengunjung. Sebanyak 44 penyertaan diterima. Tempat pertama dimenangi oleh Puteri Cempaka Izara Megat Fauzan Azad,10 tahun.

Pada masa yang sama, Rumaizi turut merasmikan Majlis Perasmian Penyerahan Tong Sampah kepada 10 buah sekolah terpilih di sekitar Bandaraya Ipoh yang diwakili oleh guru-guru dan murid-murid.

Turut hadir, Ahli Majlis MBI, Clr. Richard Ng; Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak; Pengarah Kanan-Perkhidmatan, Zulkifle Jaafar Sidek, dan Pengarah Perancang Bandaraya MBI, Zainal Abdul Hamid.

Acara ICFD juga dimeriahkan oleh persembahan tarian dari anak-anak Pra-sekolah SK Cator Avanue dan persembahan pancaragam dari SMK Anderson Ipoh.