IPOH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Puteri di Jalan Sungai Pari mengadakan Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-65 bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Setelah dua tahun tiada sebarang acara diadakan disebabkan situasi pandemik Covid-19, maka kali ini pihak sekolah mengadakan sambutan secara sederhana tetapi meriah.

Seawal pukul 7.30 pagi, para pelajar dan guru-guru telah berkumpul di dalam dewan bagi mengikuti pengisian program yang telah disusun.

Sebaik dirasmikan, progam dimulakan dengan ceramah bertemakan kemerdekaan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Encik Zaki Salleh yang merupakan bekas wartawan.

Beliau membincangkan bagaimana negara yang baru melepasi fasa pandemik sebagai analogi kepada para pelajar tentang situasi pancaroba dilalui generasi sebelum dan selepas merdeka.

Katanya, suasana terkurung semasa pandemik dengan banyak sekatan dan peraturan adalah gambaran bagaimana keadaan negara semasa era Darurat misalnya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada para pelajar bahawa semua lapisan rakyat bertanggungjawab dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi ketika ini.

Jelasnya lagi, atas prinsip Keluarga Malaysia - Teguh Bersama, para pelajar sebagai generasi masa hadapan negara merupakan pewaris untuk mencorakkan kegemilangan masa hadapan.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan multimedia, persembahan Bicara Berirama dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Sementara itu, Naib Pengerusi penganjuran sambutan, Puan Hasiah Abdullah memberitahu, program tersebut dijayakan dengan kerjasama para pelajar dan guru-guru.

"Pihak sekolah meraikan sambutan ini supaya membantu dalam mendidik murid untuk menjiwai semangat merdeka," katanya.