IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan agenda MBI Prihatin dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi tahun 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menjelaskan, peruntukan itu adalah hasil sumbangan daripada pihak yang ingin sama-sama berganding bahu membantu golongan kurang bernasib baik.

"Dalam menjayakan bajet sosial, suka untuk saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kerjasama dan sokongan daripada badan-badan korporat tempatan mahupun antarabangsa.

"Ia termasuk bagi tujuan tersebut dalam bentuk penganjuran aktiviti serta program.

"Contohnya melaksanakan program-program pemurnian sosial, insaniah dan kebajikan dengan akan melebihkan golongan sasar seperti B40, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Ogos dan pembentangan Bajet MBI Tahun 2023 di Dewan Majlis Mesyuarat MBI, di sini pada Selasa.

Hadir sama Ahli-Ahli Majlis MBI.

Dalam pada itu Rumaizi menambah, MBI turut memberi suntikan dana kepada setiap Ahli-Ahli Majlis dengan peruntukan sebanyak RM25ribu setiap seorang.

Peruntukan itu khusus untuk mereka menyalurkan bantuan di bawah komuniti selian masing-masing.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pihaknya menerima sebanyak 3,342 cadangan yang dikemukakan oleh 209 responden mengenai cadangan bajet.

Katanya lagi sebelum ini MBI memberi ruang kepada warga Ipoh untuk turut sama menyumbang sebarang bentuk idea dan cadangan secara atas talian.

"Secara umumnya, sebahagian besar cadangan yang diterima rata-ratanya berkisarkan kepada kepentingan dalam keperluan perkhidmatan pembersihan, infrastruktur yang terpelihara dengan penambahbaikan ke atas kualiti perkhidmatan bandar yang diberikan.

"Terdapat juga cadangan berkaitan bantuan secara langsung dan tidak langsung bagi mengukuhkan ekonomi masyarakat setempat," katanya lagi.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan cadangan yang mana ia telah dijadikan asas kepada penyediaan bajet bagi tahun 2023.

Terdapat sembilan agenda pembangunan dalam bajet ini merangkumi; Pembersihan dan Pengindahan, Kemudahan Awam dan Taman, Kemudahan Infrastruktur.

Bangunan dan Hartanah, Harta Modal Majlis, Bandar Rendah Karbon, Bandar Pintar, Pembangunan Sosial serta Pembangunan Ekonomi Masyarakat dan Pelancongan.