IPOH: Insentif khusus akan diberikan kepada mana-mana pelan pembangunan pemajuan yang mempraktikkan pembangunan hijau seperti 'green architecture building'.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ia sebahagian inisiatif yang melibatkan kelestarian alam sekitar, dalam memperkukuh visi menjadikan Ipoh Bandar Rendah karbon menjelang 2030.

"MBI amat menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti Biogas Renewable Energy Plant Project – Papan Ipoh.

"Serta penghasilan sumber tenaga elektrik yang cekap tenaga seperti kerjasama MBI dan pihak TNB, dengan lebih daripada 50 ribu penukaran lampu jalan LED cekap tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Ogos dan pembentangan Bajet MBI Tahun 2023 di Dewan Majlis Mesyuarat MBI, di sini pada Selasa.

Tambahnya, matlamat dan cabaran dalam mengurangkan pelepasan karbon keseluruhan dari bandar raya, selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

Ujarnya lagi ia dapat memberikan pembangunan yang lebih lestari dan mengurangkan pembaziran tenaga.

"Untuk itu, sebanyak RM1 juta disediakan bagi tahun 2023.

"Ini menjadikan unjuran nilai keseluruhan pembangunan Ipoh Low Carbon City bernilai RM20 juta menjelang tahun 2030," katanya.

Dalam pada itu Rumaizi berkata Ipoh sememangnya dikenali dengan keindahan khazanah alam batu kapur.

Beliau berkata pelaksanaan pembangunan Geopark Lembah Kinta memberi fokus kepada keseimbangan tiga komponen utama iaitu pemuliharaan sumber asli, pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti sosioekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat.