IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Perak di Dataran Bandaran di sini pada Rabu.

Baginda berdua tiba di pekarangan Dataran Bandaran kira-kira jam 8 pagi dengan ditemani dua anakandanya, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berkenan berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan negeri.

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa kawalan hormat barisan pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division Kem Sangro Taiping.

Seterusnya acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum persembahan nyanyian koir daripda SJKC Ave Maria Convent, SMJK Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent dengan lagu Keluarga Malaysia Teguh dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 95 kontinjen yang disertai kira-kira 6,200 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hadirin turut disajikan dengan persembahan muzikal yang bertajuk Merentas Gempita Bersama Keluarga Malaysia.

Ia mengisahkan perjuangan rakyat Malaysia menempuh pandemik COVID-19.

Perpaduan bangsa yang harmoni dan perpaduan telah menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam menangani COVID-19.

Kira-kira 15,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan berkenaan yang dianggap paling meriah setelah dua tahun tertangguh akibat COVID-19.