MANJUNG - Komuniti Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan tidak ketinggalan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan apabila menganjurkan majlis khusus Ahad lalu.

Dengan jiwa penuh rasa patriotik, pelbagai acara disusun dengan penglibatan semua lapisan usia.

Program ini anjuran Jawatankuasa Penduduk Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Zon 5 bersama Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Pasir Panjang Laut.

Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Panjang Laut, progam tersebut telah dirasmikan
Ahli Majlis MPM, Norhaslinda Zakaria.

Menurut Norhaslinda, penganjuran program tersebut menunjukkan semua lapisan rakyat termasuk di luar bandar tidak mahu ketinggalan
untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan.

Antara aktiviti menarik ialah pertandingan pakaian merdeka kanak-kanak, teka gula-gula, pertandingan mewarna hari kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang.

"Turut diadakan ialah penyerahan kotak sumbangan makanan kepada 20 orang asnaf ibu tunggal di sekitar Zon 5.

"Program yang diadakan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat di mana golongan kanak-kanak antara individu yang paling gembira.

"Mereka dapat mengibar bendera sambil menyanyikan lagu-lagu bertemakan kemerdekaan," ujarnya.

Jelas Norhaslinda lagi, sepertimana pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi marilah kita memupuk semangat cintakan negara dan menanam semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak kita.