IPOH: Pincer MBI Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menganjurkan Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Perdana Filem Juang pada 5 September ini.

Majlis berkenaan akan diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Ipoh Parade di sini khusus untuk meraikan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan ketika negara berperang dengan COVID-19.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata tayangan perdana yang bermula jam 8 malam itu dijangka turut dihadiri oleh beberapa barisan pengarah dan artis terkenal seperti Jack Lim, Matt Lai, Aziz M Osman, Luqman Hafidz serta Datuk Soo Wincci.

"Tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik dan endemik COVID-19 yang melanda Malaysia.

"Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh Wakil Menteri Besar Perak, Wakil Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Exco negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta barisan frontliner yang terlibat semasa pandemik dan endemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan majlis tersebut yang diadakan di Hotel Impiana di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee, Ahli Lembaga Pengarah, Khairul Anuar Lodin dan Pengarah Eksekutif Allyan Too serta wakil Pengurus Besar Hotel Impiana, Normah Ahmad.

Sementara itu, Kah Fee Yee atau Thong berkata, Pincer MBI Studio menjadi salah satu rakan strategik yang berperanan dalam pelaburan dan promosi filem berkenaan.

"Pincer MBI Studio Sdn Bhd melalui rakan kongsi menjadi antara syarikat yang berperanan dalam membantu untuk mempromosikan filem ini.

"Kita bantu dari segi strategi pemasaran bagi menjayakan filem itu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Juang membariskan pelakon handalan berbilang bangsa seperti Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta Krishnasamy, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor.

Ia memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam.

Filem ini diperkuat dengan lagu tema Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).