IPOH: Ipoh berpotensi besar menjadi sebuah bandar raya seni dan kreatif khususnya sebagai pusat perusahaan filem seperti Mumbai, India.

Sasaran dan harapan itu disuarakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang berpandangan bandar raya ini mampu menjadi lokasi tumpuan dalam aspek seni kreatif sebagaimana Bollywood.

Untuk itu beliau berkata pihaknya sudah mengatur strategi dan sedang bergerak ke arah mencapai sasaran itu, lebih-lebih lagi dari sudut penyediaan infrastruktur terkini.

"Kita di Ipoh akan fokus kepada bandar pelancongan, kreatif dan seni. Ia baru digerakkan pada Januari lalu.

"Jangan terkejut satu hari nanti, dalam pandangan saya Ipoh akan jadi seperti Mumbai, yang terkenal dengan jolokan Bollywood.

"Atau Shanghai yang juga terkenal, kita akan bergerak ke arah itu. Untuk ekonomi budaya Ipoh akan menjuarai di peringkat negara, tidak mustahil kalau betul-betul usaha kita boleh pergi hingga Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas mengenai Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Filem Juang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee dan salah seorang Penerbit Filem Juang, Allyan Too.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi merealisasikan hasrat itu, Rumaizi berkata ia sudah ada dalam perancangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (Pincer) MBI Studio Sdn Bhd berkata, pembangunan teknologi sedang dirangka.

"Itu memang dalam perancangan kita (kerjasama dengan PBT dan negeri lain), tetapi perkara paling asas ialah bangunkan infrastruktur.

"Sebab itu selain daripada infrastukur studio, kita sudah membangunkan teknologi 5G.

"Saya jangka dalam masa terdekat kita akan pergi ke sana bukan saja dalam negara, luar negara pun kita akan buat seperti China yang sebelum ini datang buat penggambaran di lokasi menarik di sini," katanya lagi.

Terdahulu dalam sidang media itu, Rumaizi berkata Pincer MBI Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengadakan Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Filem Juang pada 5 September ini.

Ia akan diadakan pada jam 8 malam di Golden Screen Cinema (GSC), Ipoh Parade di sini.

Rumaizi berkata, program tayangan itu bertujuan menghargai jasa dan barisan dan pengorbanan sepanjang tempoh pandemik dan endemik.