IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud, malam tadi melancarkan program Mid Autumn Carnival' yang berlangsung selama dua bermula 3 hingga 4 September 2022.

Menurut Rumaizi, perayaan Kuih Bulan atau perayaan pertengahan musim luruh merupakan perayaan hasil pertanian yang disambut pada hari ke-15 pada bulan ke lapan pada kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September.

“Perayaan kuih bulan juga dikaitkan dengan Pesta Tanglung, namun ada perayaan lain yang juga berkait rapat dengan tanglung misalnya Chap Goh Mei.

“Program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat yang menceriakan serta memeriahkan suasana malam hari di Bandaraya Ipoh.

“MBI sentiasa menggalakkan lebih banyak lagi syarikat swasta seperti Syarikat Chang Jiang International Sdn. Bhd dalam menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperi Mid Autumn Carnival ini,” katanya kepada Ipohecho selepas Majlis Pelancaran Mid Autumn Carnival atau Perayaan Kuih Bulan di People's Park, di sini malam tadi.

Rumaizi juga berharap pada masa hadapan akan diperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti perayaan setiap kaum bagi memantapkan lagi keharmonian dan perpaduan dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Hadir sama, Pengarah Chang Jiang International Sdn. Bhd., Foong Choa Mun dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh.