IPOH: Pihak produksi penggambaran yang mengakibatkan kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat di sini, sudah dikenakan denda, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini hasil kajian berhubung nilai kerosakan aset warisan itu, Rumaizi berkata pihaknya dalam fasa akhir menunggu jawapan pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya belum (dapat) lagi, yang saya dapat hanya dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tetapi saya belum boleh uar-uarkan lagi.

"Sebab saya kena dapatkan dari JMG dan Universiti Sains Malaysia (USM), tapi USM belum keluar lagi. Yang baru dapat hanya JMG (hasil kajian) tetapi belum boleh umum.

"Produksi itu memang kita sudah denda, sudah diambil tindakan. Kita denda dengan bayaran, jumlahnya saya kena pastikan semula maklumat itu... tak berapa ingat.

"Mereka sudah didenda sebab sebenarnya masuk tanpa kebenaran,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Mid Autumn Carnival atau Perayaan Kuih Bulan di People's Park, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini sudah menggerakkan kerja-kerja pemuliharaan di kawasan fosil tersebut.

"Kita sudah buat kerja pemuliharaan dan di dalam kawasan itu, jumpa beberapa fosil baharu.

"Kita juga bekerjasama dengan ahli paleontologi (pakar kaji fosil) serta universiti.

"Bila dapat nanti hasil laporan penuh pakar berhubung nilai kerosakan itu, saya kena teliti dahulu sebab ia melibatkan khazanah negara.

"Saya kena dapatkan nasihat daripada pihak yang lebih arif, setelah itu kita akan maklumkan kepada umum hasil laporan tersebut,"katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan MBI sedang menunggu laporan penuh daripada ahli paleontologi bagi menentukan nilai dan kos tuntutan ganti rugi terhadap sebuah produksi penggambaran yang mengakibatkan kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat.

Turut dilaporkan kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas dan menuntut ganti rugi daripada syarikat produksi drama yang menjalankan penggambaran di Gua Matsoorat di sini hingga berlaku kerosakan pada fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dindingnya.