Fasa peralihan ke endemik menyaksikan kembali momen indah pernikahan antara dua jiwa yang disulami keunikan warisan tradisi kebanggaan berzaman.

‘Bagai cincin dengan permata’, begitulah perumpamaan buat pasangan mempelai Mohammad Amin Taufiq Akil, 26, dan Nur Syuhada Farizan, 24, menzahirkan kesyukuran kerana percintaan mereka dinoktahkan dalam suasana meriah sepertimana yang diimpikan.

“Fasa peralihan ke endemik ini, membolehkan majlis pernikahan kami dilangsungkan secara terbuka yang semestinya merapatkan silaturahim kedua-dua belah pihak.

“Namun, di sebalik kemeriahan ini, kami tetap memastikan pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman terus dipraktikkan sepertimana saranan kerajaan,” katanya berasal dari Pahang yang kini bertugas sebagai pereka hiasan dalaman.

Isterinya, Nur Syuhada dari Dengkil, Selangor turut merasa bertuah kerana dapat meraikan detik bersejarah yang dihadiri ahli keluarga terapat

“Seandainya kita masih lagi dalam fasa pandemik pasti majlis bersejarah ini akan berlalu hambar dan hanya disaksikan secara maya sahaja. Syukur ke hadrat Allah, majlis ini berjalan sepertimana majlis pernikahan ibu dan bapa saya dahulu yang dihadiri oleh semua ahli keluarga.

“Walau bagaimanapun, yang penting acara pernikahan ini mengikut tuntutan agama, tidak kiralah ia dilangsungkan di mana dan bagaimana. Cuma bagi saya kehadiran semua ahli keluarga menjadi sebuah bingkisan memori paling bermakna dalam melayari bahtera kehidupan baharu kami,” katanya yang merupakan bekas graduan UiTM jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) Kimia (Analisis Forensik).

Sementara itu, Farizan Zakaria, 54, berkata majlis pernikahan anak sulungnya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 3 September 2022 merupakan detik indah namun mencuit nalurinya sebagai seorang ayah.

“Inilah pertama kali saya mewalikan pernikahan anak saya dengan rasa terharu. Saya bersyukur dan gembira kerana majlis berjalan lancar. Semoga menantu saya dapat meneruskan tanggungjawab menjaga kebajikan anak saya dengan baik.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua keluarga yang terlibat. Majlis ini telah menemukan kembali ahli keluarga yang terpisah lebih dua tahun kerana pandemik Covid-19,” ujarnya. - PERAKTASTIC-