LUMUT - Cubaan 13 bot nelayan asing memasuki perairan negara berjaya digagalkan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kejadian berhampiran Pulau Perak petang semalam.

Kapal KD Laksamana Hang Nadim telah melakukan pengusiran tersebut semasa melakukan rondaan sekitar 5.50 petang.

Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan, terdahulu Pusat Operasi Armada (POA) Barat telah menerima maklumat dari Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, 13 bot itu dikesan pada posisi 65 batu nautika Tenggara Pulau Perak melalui Pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut.

"KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan bot-bot berkenaan," ujar kenyataan itu.

KD Laksamana Hang Nadim seterusnya melaksanakan tindakan pengusiran kesemua bot nelayan asing dan kekal membayangi sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara.