IPOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memulakan pemasangan hampir 100,000 meter pintar di negeri ini, yang dijangka bermula awal tahun depan.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin berkata pemasangan meter pintar itu adalah yang pertama di Perak dan dimulakan di bandar raya Ipoh secara berperingkat.

Katanya lagi, pemasangan meter pintar itu juga antara lain sebagai usaha memberi tambah baik kepada perkhidmatan, selain menggunakan teknologi terkini.

"Smart meter atau meter pintar ini merupakan komponen Advanced Metering Infrastructure (AMI). Pengunaan ini sepatutnya menjimatkan elektrik dan lebih berhemah.

"Kelebihan daripada pemasangan ini ialah pelanggan akan dapat penggunaan 'real time' (elektrik) pada rumah mereka. Bila dipasang nanti pelanggan boleh muat turun aplikasi itu di telefon pintar.

"Dari situ kita boleh tahu data dan boleh periksa berapa banyak (tenaga elektrik) yang kita guna, dengan itu lebih mudah kita uruskan dan kawal pengunaan elektrik.

"Contohnya hari ini kalau pakai lebih, kita boleh kawal kurangkan, kita tahu perkakas elektrik mana yang guna banyak tenaga elektrik," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian replika cek tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada TNB kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Tambah Sharuddin, pemasangan meter pintar itu sudah dilaksanakan sejak tahun 2015 yang bermula di Melaka sebagai pilot project.

Jelasnya lagi, ia kemudiannya diperluas ke Lembah Klang dan sehingga kini hampir 2.3 juta pengguna TNB telah dipasang meter tersebut.

"InsyaAllah di Ipoh kita akan mulakan kerja-kerja pemasangan infra dahulu pada hujung tahun ini. Dan dijangka meter itu dipasang awal tahun depan.

"Jangkaannya hampir 100,000 pelanggan di sini akan dipasang dengan meter pintar. Kita dapat kurangkan pengunaan kertas sebab bila boleh dihantar menerusi telefon dan sebagainya.

Jelasnya lagi, meter sedia akan diganti dengan meter pintar, oleh itu kakitangan TNB perlu pergi dari rumah ke rumah untuk tujuan pemberitahuan.

"Ia agak makan masa sebab kita perlu pergi dari rumah ke rumah. Isunya nak masuk rumah dan sebagainya.

"Dtambah dengan keadaan sekarang ada pihak tidak bertanggungjawab ambil kesempatan untuk masuk (rumah) bagi tujuan lain, itu kita kena betul-betul kaji.

"Sebelum pasang meter itu, kita akan buat engagement dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan penduduk dan sebagainya, untuk elak perkara tidak diingini berlaku," katanya lagi.

Pada majlis tersebut, TNB menyampaikan replika cek dengan memperuntuk sebanyak RM60,000 kepada MBI bagi tujuan baik pulih rumah asnaf.

Tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan hasil daripada salah satu projek di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar IPOH 2030 di bawah projek Smart Meter.