LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan dua buah bot nelayan tempatan (BNT) kelas B, pada kedudukan 5.3 dan 5.2 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot Maritim Malaysia dalam rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Sembilan.

"Hasil pemeriksaan awal pada jam 7.15 pagi mendapati, bot pertama dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan.

"Seorang kru warga Indonesia dan seorang Myanmar, berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun sedang menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua - dua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan bot kedua pula mendapati, bot yang dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun juga melakukan kesalahan yang sama.

Iaitu menangkap ikan kurang daripada lapan batu serta kru warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua kru, bot serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, APMM Perak berjaya menahan sebuah bot pukat tunda kelas B pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar jam 10.30 pagi pada 2 September lalu.

Katanya bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63.

Sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.