LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menemukan satu mayat tanpa identiti di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Rumbia, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot Maritim Perkasa 1223 telah diatur gerak ke lokasi bagi mengesahkan aduan yang diterima mengenai penemuan satu mayat oleh nelayan tempatan di perairan tersebut.

"Mayat itu ditemui kira-kira jam 7.55 pagi pada Selasa, hasil pemeriksaan dan rondaan di lokasi, satu mayat disyaki lelaki berseluar pendek serta berbaju singlet kuning namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

"Mayat tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sehingga kini, APMM Perak belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut.

Beliau juga memohon supaya mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Katanya lagi, APMM mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti di perairan negara.

Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.