TAIPING - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Nasib 15 keluarga di Taman Sri Kota, Taman Mas Taiping (Air Kuning) dan sekitar Pokok Assam yang dilanda musibah banjir baru-baru ini mendapat perhatian.

MIC Bahagian Taiping pada Ahad lalu telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa-mangsa bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

Ketua MIC Bahagian Taiping, M. Veeran berkata, pihaknya merasa simpati pada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir tersebut termasuk ada yang kerugian harta benda.

"Kejadian banjir yang luar jangkaan ini berlaku pantas dan ada penduduk tidak sempat memindahkan kelengkapan ke tempat tinggi.

"Walaupun kerugian yang ditanggung kecil tetapi musibah banjir turut menimbulkan rasa cemas pada penduduk jika kejadian sama berulang," ujarnya ketika ditemui pada serahan itu.

Kata Veeran, pihaknya sentiasa mengambil maklum pada sebarang isu khususnya melibatkan kebajikan komuniti setempat.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi MIC Bahagian Taiping, Raja Muniandy, Setiausaha Bahagian, V. Raman , Penolong Setiausaha, KT Thuraisamy , Exco MIC Bahagian, Kesavarajoo dan Ketua Cawangan Taman Saga, Muthiah.