IPOH- Lenggong bakal menjadi tumpuan dunia sempena pengajuran The 12th Malaysia 12 & 48 Hours Ironbound Adventure 1 (IBA1) pada 3 hingga 7 November 2022 depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Dato' Mohammed Radzi berkata kejohanan bertaraf antarabangsa sejak 2002 itu, akan terus mengharumkan negeri Perak dan Malaysia dalam acara sukan lasak.

Setakat ini pihak pengajur telah menerima lebih 40 peserta antarabangsa bagi kategori 48 jam dan lebih 30 penyertaan tempatan untuk kategori 12 jam.

Adventure 1 atau lebih dikenai sebagai A1 ialah siri penganjuran perlumbaan terulung berkonsepkan pengembaraan bertaraf dunia yang menyokong dan mempromosikan atlet, acara, pengarah yang bersifat local tetapi bercirikan nasional dan global.

Sejak siri pertama Australian Adventure Racing, ia terus berkembang pantas dan kini menjadi siri kebangsaan terulung di Australia, New Zealand, dan Afrika Selatan.

Siri perlumbaan ini menghimpunkan atlet dan perlumbaan terbaik dalam lanskap paling mencabar lagi menakjubkan yang dimiliki oleh setiap negara.

“Akreditasi acara yang diperolehi daripada Adventure 1 Australia dan juga International Event Sanctioned daripada World Obstacles Federation Switzerland ini, bakal menjadikan Perak sebagai salah satu destinasi acara siri sukan lasak bertaraf dunia”, katanya dalam sidang media The 12th Malaysia 12 & 48 – Hours Ironbound Adventure 1, National Series & World Cup Stop 2022 – Lenggong Edition di Hotel Casuarina Meru, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hi Nasarah; Pengarah Kanan Tourism Malaysia Bahagian Domestik, Iskandar Mirza Mohd Yusof; Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Mohd Amzari Mohd Arzami; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism, Perak Nurmalis Musa dan Shamsuri Abd Latif, Pengarah Kejohanan Iron Bound 1.

Format perlumbaan sukan lasak ‘Adventure Racing’ ialah 12 & 48 jam tanpa henti. Acara perlumbaan kategori 48 jam (pasukan antrabangsa) akan disertai seramai empat orang dan bagi acara 12 jam (pasukan tempatan) ialah dua orang untuk satu pasukan.

Jarak Perlumbaan melibatkan sekitar daerah Lenggong sejauh 250+ Km (48h) / 100+ Km (12h). dan disiplin perlumbaan merangkumi Mountain Biking, High Roping (Abseiling, Zip-Line), Trail Running, Orienteering, Full Navigation, Kayaking dan Rafting.

Antara peserta antarabangsa yang telah mendaftar setakat ini ialah Australia, New Zealand dan Denmark untuk pasukan tumpuan antarabangsa (48 jam). - PERAKTASTIC-