TANJUNG MALIM - Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan ruang khas sudut bacaan di dua buah Klinik Kesihatan Tanjung Malim dan Klinik Kesihatan Slim River.

Ini merupakan projek rintis khidmat sosial universiti bertujuan memupuk budaya membaca kepada pengunjung terutamanya para pesakit sedang menunggu giliran mahupun ahli keluarga yang menemani.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr. V.C Anuratha Subramaniam, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan khidmat sosial daripada pusat pengajian terulung di daerah tersebut.

“Kami warga klinik sekitar Muallim amat teruja apabila menerima beraneka bahan bacaan yang terkini hiasan rekaletak dekorasi yang cantik sekaligus menarik minat membaca dari kalangan pengunjung,” jelasnya semasa majlis perasmian ruang bacaan Program Khidmat Kelestarian Komuniti di Klinik Kesihatan Slim River, semalam.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr Ngaesah Hamed; Timbalan Ketua Pustakawan, Wan Kartini Wan Sulaiman dan Penolong Pendaftar Kanan UCTC UPSI, Mohd Zaiham Izwan Zainudin.

Ketika ditemui, Wan Kartini memberitahu, seramai 10 orang staf PTB membantu dalam penyediaan ruang bacaan di sekitar ruang legar klinik berhampiran tempat menunggu selama tiga hari.

Katanya, sebanyak 5,300 naskhah buku beraneka genre bernilai lebih RM4,500 untuk disumbangkan kepada dua klinik kesihatan ini menerusi ihsan pelbagai pihak.

"Antaranya Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Karangkraf, Serambi Ilmu Rakyat (Bank Rakyat) serta sumbangan orang awam selain perbelanjaan daripada UPSI sendiri.

"Projek rintis ini bakal dikembangkan dengan penyediaan lebih banyak kawasan tumpuan dan premis-premis di sekitar daerah ini pada masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md Taff berkata, UPSI akan terus memperkasa modal insan dengan mencari ruang untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat, sesuai dengan slogan universiti untuk masyarakat.