IPOH: Perak secara dasarnya bersetuju untuk mengaplikasi sistem pagar siren gajah yang digunapakai di negeri Johor bagi menyelesaikan isu gangguan haiwan liar tersebut di negeri ini.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, pihaknya turut mempertimbangkan untuk menggunapakai teknologi seumpamanya dari Thailand.

"Saya sudah masukkan perkara ini dalam mesyuarat Exco dan hasil lawatan di Johor Isnin lalu, berhubung sistem siren yang menggunapakai teknologi dari Indonesia.

"Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) Halizah Sipun serta Pengarah PERHILITAN dan JAKOA Negeri Perak dan Johor.

"Kita masuk ke Kampung Orang Asli Punan yang satu-satunya menggunakan teknologi itu di Malaysia dan saya ada tanya beberapa masyarakat Orang Asli di situ, mereka gembira dengan teknologi itu.

"Saya nampak agak sesuai teknologi ini dibawa ke Perak, cuma saya dimaklumkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bahawa ada satu lagi teknologi yang diguna di Thailand.

"Hasrat saya untuk bawa masuk (teknologi) itu ke sini, difahamkan bila gajah itu lagi 1 Kilometer masuk ia akan berbunyi, gajah akan terganggu dan patah balik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung lawatan dan tinjauan penggunaan siren gajah itu di Johor baru-baru ini.

Jelasnya lagi, difahamkan sistem yang digunapakai di perkampungan Orang Asli itu sudah hampir enam bulan, rata-rata maklum balas yang diterima begitu memberangsangkan.

"Sistem itu sudah wujud hampir enam tahun, sekarang semakin popular di situ dan permintaan untuk sistem itu cukup tinggi daripada orang ramai yang memerlukan," katanya lagi.

Dalam pada itu Mohd Akmal berkata, setakat ini kerajaan negeri terbuka untuk menggunapakai kedua-kedua teknologi tersebut.

Ujarnya lagi, pihaknya akan melakukan lawatan dan tinjauan ke negara yang terkenal dengan julukan sebagai negeri gajah putih itu dalam masa terdekat, bagi melihat secara terperinci teknologi tersebut.

"Kita tunggu peluang untuk ke sana (Thailand), setakat ini kerajaan negeri boleh bersetuju dengan dua teknologi ini.

"Mungkin langkah permulaan hasil perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk bawa beberapa Orang Asli ke Johor.

"Mereka boleh belajar dengan Orang Asli dari perkampungan di situ bagaimana untuk kendalikan teknologi ini.

"Sebab pihak Wildlife Conservation Society (WCS) hanya bekalkan barang saja, Orang Asli sendiri yang kendalikannya," katanya lagi.

Mohd Akmal berkata anggaran kos bagi teknologi WCS itu berjumlah kira-kira RM400 bagi 1 ekar, manakala teknologi dari Thailand pula dianggarkan RM32,000 bagi 14 Kilometer.

Katanya lagi, antara lokasi panas bagi isu gangguan gajah adalah di Pos Kemar di Gerik.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta JAKOA bagi melihat kesesuaian lokasi bagi menempatkan teknologi itu.