Terima Kasih Sukarelawan MCA & BSN!
- Details
- Norraidah Awang
- Komuniti
- Hits: 660
BIDOR - Hasrat warga emas yang juga pesakit strok untuk membuka akaun simpanan di Bank Simpanan Nasional (BSN) tercapai dengan bantuan Skuad Amal Kebajikan dan Sayang, Sukarelawan MCA, petang tadi, dekat sini.
Chong Poh Sum, 67, yang tidak bertutur Bahasa Melayu, perlu membuka akaun bank bagi memudahkan urusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kewangan bulanan.
Menyedari kesulitan yang dialami Poh Sum menyebabkan Sukarelawan MCA yang diketuai, Wong Wing Yew bersama dua rakannya terus ke rumah wanita warga emas itu yang terletak di Kampung Baru belakang pasar pekan tersebut.
Wing Yew berkata, sebelum ini agak sukar Poh Sum yang mempunyai penyakit strok untuk pergi seorang diri ke bank untuk membuka buku akaun simpanan.
Katanya, setelah menerima maklumat tentang kesukaran yang dialami Poh Sum, dia bersama rakan terus mengunjungi rumah wanita terbabit untuk membantu.
"Tiba di bank, kami berbincang dengan kakitangan dan pengurus bank terbabit dan mereka bersetuju untuk mempercepatkan proses membuka akaun dengan segera untuk membantu Poh Sum.
"Keprihatinan dan kerjasama yang ditunjukkan pihak bank amatlah kami hargai kerana memudahkan urusan," katanya ketika dihubungi, dekat sini.
Tambahnya, sepanjang perjalanan menghantar pulang, Poh Sum berulangkali mengucapkan terima kasih kepada mereka dan pihak bank cawangan Bidor itu.
"Walaupun bantuan mereka dan pihak bank nampak kecil, namun bagi Poh Sum ia amat besar untuk membantunya meneruskan kelangsungan hidup," jelasnya.