JPW Banteras Keganasan Rumah Tangga Di Luar Bandar
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 727
IPOH - Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perak bersama lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan kempen kesedaran keganasan rumahtangga untuk masyarakat luar bandar.
Pengarah JPW Perak S Kavaramma berkata, masalah capaian internet serta tiada kemudahan gajet antara faktor masyarakat luar bandar gagal mendapat pendedahan tentang keganasan rumah tangga.
"Objektif kami adalah memperluaskan kempen ini ke kawasan luar bandar agar lebih ramai yang berisiko mempunyai pengetahuan bagaimana menangani masalah serta mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul.
"Kami akan memberi ceramah di samping mengedarkan risalah kepada semua penduduk estet supaya mereka tahu bagaimana proses aduan dapat dibuat sekiranya menjadi mangsa keganasan", katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keganasan Rumahtangga di Klinik Kesihatan Greentown, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) Datin Normah Hanum Ibrahim dan Presiden Kelab Rotary Ipoh Selatan P Pathma Devi.
Menurutnya, faktor desakan hidup antara sebab mengapa mangsa berasa takut untuk membuat laporan kerana bimbang hilang mata pencarian dan tempat bergantung.
"Kami mengalu-alukan penyertaan NGO untuk sama-sama menjayakan kempen ini serta menggunakan peluang tersebut untuk memohon geran bantuan perbendaharaan bagi mendapatkan dana bagi tujuan tersebut," katanya.