IPOH: Seolah-olah kembali ke zaman silam, sarat dengan nostalgia seperti dalam filem klasik hitam putih P.Ramlee.

Tidak kurang juga mengembalikan kenangan watak Pak Maun yang dibawa oleh Allahyarham Mahmud June dalam filem Nasib Do Re Mi.

Itu gambaran tepat suasana di pekarangan bangunan Stesen Keretapi Ipoh, di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini hari ini.

Kelihatan ratusan individu berbusana pakaian tradisional Melayu seperti kain sarung, berbaju kurung dan ada juga berpakaian lengkap mengikut tema retro.

Rupa-rupanya bila diamati secara dekat, mereka mengikuti program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

Menurut Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, program yang dinamakan sebagai Keretapi Sarong 22 itu pertama kali dianjurkan di negeri ini, selepas Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ia dianjurkan oleh Ipoh Social Club dan Locco.

Ujarnya lagi, Stesen Keretapi Ipoh yang berusia lebih 100 tahun menjadi lokasi untuk menghimpunkan wakil dari utara Malaysia.

"Kami buat hebahan untuk tarik penyertaan orang ramai menerusi media sosial Instagram, Facebook dan sebagainya, alhamdulillah ramai hadir.

"Keretapi Sarong 22 merupakan yang pertama dibuat di Ipoh. Bandar raya ini merupakan lokasi bagi himpunkan wakil dari utara, kita jalankan aktiviti di sini.

"Ramai yang hadir hari ini bukan saja dari Perak tetapi merangkumi negeri lain seperti Pulau Pinang dan Kedah.

"Acara ini berjalan serentak di Kuala Lumpur, dan beberapa lokasi lain yang terpilih," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Katanya, objektif program ini dengan peserta dikehendaki memakai pakaian bertema sarung atau retro tahun 60-an hingga 90-an adalah bagi mengembalikan warisan terdahulu.

Di samping itu katanya, pakaian itu juga melambangkan semangat perpaduan antara kaum, yang bukan hanya dipakai oleh kaum tertentu sahaja, tetapi merangkumi semua.

"Kami mahu menyatukan semua tidak kira bangsa, sarung memang semua bangsa ada yang pakai, signifikan hari ini adalah melambangkan perpaduan.

"Aktiviti kita hari ini termasuk bergabung dengan badan bukan kerajaan (NGO) Dapur Jalan Ipoh, untuk sampaikan pek makanan kepada gelandangan," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Sinar Ishak dari Tanjung Rambutan, di sini hadir bagi sama-sama memeriahkan program tersebut.

"Saya teruja untuk berkumpul di sini sambut Hari Malaysia. Sebelum ini saya memang ada terlibat dengan penganjuran sama di Kuala Lumpur.

"Saya dapat tahu ia dianjur di sini tahun ini, memang seronok. Tema saya pakai hari ini ialah orang kampung macam Pak Maun, imbau semula zaman 70-an dan 80-an," katanya.

Seorang lagi peserta dari Kuala Lumpur, Nur Ruzaini Ruslan hadir bersama anak perempuannya ke sini.

Nur Ruzaini memaklumkan, beliau pernah beberapa kali menyertai program sama di Kuala Lumpur.

"Difahamkan,ia dianjurkan pertama kali di Perak, pendapat saya tahun depan mungkin boleh buat lebih meriah dan ramai, di samping tarik minat lebih ramai bangsa lain.

"Rasa bersemangat pakai baju sebegini, anak pun mahu sama sertai, saya rasa gembira sangat. Adik lelaki saya pun ada sekali teman hari ini," katanya.

Semangat sama dikongsi oleh Nur Afieqah Ashmawi dari Chemor, yang hadir bersama rakannya seawal jam 7.30 pagi.

"Saya dapat tahu program ini daripada Instagram. Persiapan memang saat akhir sebab kawan ajak teman ke sini.

"Kami juga boleh berkenalan dengan kawan baharu dari negeri lain, yang mana ramai di sini berkongsi minat sama, pelancong yang datang ke stesen keretapi ini boleh lihat budaya dan pakaian tradisi kita," katanya lagi.