IPOH - Kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) hari ini mengadakan majlis pra pelancaran sebuah aplikasi pekerjaan dikenali sebagai Talent Perak.

Ini merupakan sebuah platform kerjaya atas talian bagi memudahkan pencari kerja mencari peluang pekerjaan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemeterian tersebut disempurnakan sempena Karnival MESRA Anak Muda (KAMU) yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini.

Menerusi cara ini katanya, para pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini pada telefon bimbit masing-masing melalui Google Play Store dan boleh membuat carian jawatan kosong.

"Pencarian dibuat mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan jarak lokasi pengguna.

"Talent Perak kini dalam peringkat versi Beta dan pihak PASAK akan mendapatkan input dan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan lancar," ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Pembinaan aplikasi tersebut antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memberi fokus kepada penyediaan peluang dan persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.

Selain itu, ini untuk memastikan kebolehpasaran graduan dipertingkatkan selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sedang giat membuka kawasan-kawasan industri baru.

Menurut Saarani lagi, hari ini juga turut diadakan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PASAK, Institut Darul Ridzuan (IDR) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ujarnya, ia bagi melaksanakan program-program pembangunan belia di negeri Perak.

"MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah PASAK, Mohd Misbahul Munir  Masduki; Ketua Eksekutif IDR, Dr Maisarah Ahmad dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Azirruan Arifin.

"Melalui MoU tersebut, ketiga-tiga entiti akan bekerjasama untuk meneruskan dan melaksanakan program berbentuk pembangunan kerjaya, latihan kemahiran serta penyelarasan data pekerjaan," jelas beliau.

Maklumat ini kelak akan digunakan dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negeri Perak.

Ends//