"Pemuda pemudi kalau berkain songket
Alangkah indah berseri bertambah cantik
Kainlah songket tenun Melayu
Mula asalnya dari Terengganu"

Mendengar senikata lagu nyanyian biduanita, Puan Sri Saloma cukup untuk membayangkan kepada kita betapa tingginya nilai tenunan kain songket dalam budaya Melayu.

Menghasilkan songket bermula dari segulung benang ditenun menjadi kain bercorak.

Sebab itu, kerja menenun songket bukan mudah dan dilihat rumit bagi sesetengah orang kerana ia memerlukan minat, kepakaran selain kesabaran yang tinggi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui adanya seorang peneneun songket tradisional profesional yang juga merupakan satu-satunya di daerah Perak Tengah.

Bagi pencinta tenunan songket tradisional di negeri ini, nama Faridatul Azna Shoib bukanlah asing yang mengusahakan hasil kerjanya ydi Kampung Masjid Lama, Bota Kanan,

Mana tidaknya, kehalusan hasil kerja tenunan
Faridatul Azna turut memikat Istana Perak lantas menunjukkan betapa kualiti kerja wanita ini mendapat pengiktirafan.

Menggunakan dua alat tenunan songket, Faridatul Azna Shoib, 52, berjaya menghasilkan pelbagai corak yang menarik.

Mula menceburi bidang tenunan songket pada tahun 1993 apabila dia mula mempelajari kemahiran itu di Alor Setar, Kedah.

Kata Faridatul Azna, disebabkan minat yang mendalam, dia kemudian menyambung pengajian di Seberang Takir, Terengganu selama setahun.

"Selepas tamat belajar, saya bekerja di sebuah perusahaan menghasilkan songket selama empat tahun untuk menimba pengalaman.

"Pada tahun 2000 saya mula menghasilkan songket di rumah dan kini mempunyai dua alat tenunan songket yang ditempah dari Terengganu.

"Produk lain yang dihasilkan termasuklah kain sampin, sarung kotak tisu, sarung tepak sirih dan pemegang rantai kunci," ujarnya.

Tempahan songket ketika ini bermula hari ratusan hingga ribuan ringgit berdasarkan corak dan bunga yang dihasilkan serta dimahukan pelanggan.

"Harga songket memang mahal kerana ia merupakan kerja tangan eksklusif, mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi dan boleh dibezakan melalui corak dihasilkan," ujarnya.

Faridatul berharap ada generasi muda yang berminat untuk mempelajari pembuatan songket agar seni warisan itu tidak pupus. -PERAKTASTIC-