IPOH - Kawasan Jelapang akan mempunyai satu mercu baharu apabila sebuah papan tanda menunjukkan lokasi Kampung Baru Jelapang bakal dibina tidak lama lagi.

Papan tanda ini juga memudahkan pengunjung luar khususnya masyarakat Tionghua yang pertama kali datang ke sini terutamanya untuk mencari kedai-kedai makanan Cina.

Ini kerana Jelapang merupakan antara lokasi makan-makan popular bagi pengunjung Tionghua ke Ipoh selain tarikan kawasan persekitaran yang menghijau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian berkata, pembinaan papan tanda itu juga sepertimana dijanjikan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, dia amat gembira apabila perkara itu akhirnya terlaksana walaupun berhadapan beberapa kesukaran sebelum ini.

"Menerusi kerjasama dan bantuan pihak yang terlibat termasuk penduduk, pemasangan papan tanda dengan kos sebanyak RM13,000 itu dapat dilaksanakan.

"Pemilihan rekabentuk papan tanda itu akan diputuskan menerusi undian secara atas talian agar penduduk boleh membuat pilihan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah Pemasangan Papan Tanda Kampung Baru Jelapang di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming.

Lokasi Kampung Baru Jelapang juga merupakan salah satu jalan utama ke Bangunan SUK menghubungkan kawasan bandar Meru Jaya dan Ipoh.

Pou Hian juga berharap pemasangan papan tanda itu nanti akan dapat membawa semangat kekitaan pada penduduk Jelapang.

"Apabila mercu tanda jalan ini siap pada November depan, orang ramai yang melalui Jelapang dapat melihat dan mengetahui bahawa lokasi ini dipanggil Kampung Baru Jelapang," ujarnya.