IPOH: Lebih 300 orang pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Raja Perempuan (RPS) Ipoh, di sini berjaya mengumpul sisa elektronik atau e-waste seberat 421 kilogram (kg).

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Eco World Project sekolah terbabit yang bermula sejak dua bulan lalu, khusus untuk melestarikan alam sekitar.

Menurut Ahli Majlis,Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Prof. Dr Richard Ng, sisa e-waste itu dikumpul serta disumbangkan sendiri oleh para pelajar dan guru sekolah tersebut.

Katanya lagi, e-waste itu kemudiannya akan dijual kepada pihak yang terbabit menguruskan sisa tersebut, seperti slogan yang diuar-uarkan sebelum ini iaitu 'terbuang menjadi wang'.

"E-waste yang dikumpul di sekolah ini akan dijual kepada Edsha Solution Sdn. Bhd, iaitu syarikat yang berlesen di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Sejumlah 421 kg telah berjaya disumbangkan dengan bayaran sebanyak RM340 setakat ini, tahniah kepada guru dan pelajar RPS.

"Hasil jualan itu akan digunakan untuk membeli sebuah TV pintar berukuran 60 inci,berharga kira-kira RM3,700. Kalau tidak cukup kita akan bantu biayai bakinya.

"TV itu dapat digunakan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut, memandangkan projektor lama yang sudah uzur.

"Daripada kita mengharapkan sumbangan atau dana daripada orang lain, cara begini sekurang-kurangnya jadi serampang dua mata.

"Iaitu mendidik pelajar tentang cara lupus sisa elektronik dengan betul dan kumpul untuk ditukar dengan wang,"katanya.

Richard berkata, antara barangan yang paling banyak dikumpul daripada guru dan pelajar ialah telefon bimbit, komputer, mesin pencetak, skrin LCD dan seterika.

"Mungkin sebelum ini ada yang tertanya-tanya mengapa bateri dan lampu tidak boleh ditukar dengan wang, ini kerana ia tiada nilai, kecuali lampu LED yang ada elemen logam yang boleh diekstrak," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Lions Club of Perak Silver State, berkata RPS juga akan menyertai Pertandingan Kutipan E-Waste anjuran MBI dan Jabatan Alam Sekitar.

"Ia menawarkan hadiah menarik di peringkat negeri dan kebangsaan yang menyasarkan jumlah kutipan e-waste.

"Sebagai Ahli Majlis dan aktivis alam sekitar, saya menyokong usaha murni ini lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar sekolah," katanya lagi.

Memetik kenyataan di laman rasmi Pengurusan E-Waste di Malaysia, e-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama/usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.

Laporan itu dipetik sebagai berkata, berdasarkan kajian, dijangka sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.

Komponen di dalam e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium, yang akan meresap ke dalam bumi dan sumber air.

Bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste yang lestari, penjana buangan (orang awam) adalah bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste ke peruncit, pengumpul yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan.