IPOH- Peminat sukan tarik tali berpeluang menyertai Kejohanan Gopeng 4x4 Tug Of War Championship 2022 yang bakal berlangsung pada 1 hingga 2 Oktober 2022 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,berkata sukan tarik tali merupakan acara popular diseluruh dunia yang bakal memeriahkan Homestay Gopeng selama dua hari.

“Kejohanan Gopeng 4x4 Tug Of War Championship 2022 membuka peluang kepada seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menyertai cabaran ini.

“Kita menyasarkan sejumlah 40 buah pasukan, sehingga kini sebanyak 20 pasukan telah bersetuju menyertai acara ini. Mereka terdiri daripada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Shah Alam, Universiti Malaya, Polis Diraja Malaysia dan beberapa pasukan tempatan yang lain.

“Kejohanan yang julung kali diadakan ini, kebiasaannya disertai seramai lapan orang setiap pasukan namun pihak pengajur bersetuju membuat sedikit kelainan dengan menghadkan kepada empat orang untuk setiap pasukan dan maksimum berat keseluruhan pasukan ialah 320 kilogram,” katanya sewaktu sidang media Kejohanan Gopeng 4x4 Tug Of War Championship 2022 di  Bilik Mesyuarat G1, Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Hadir sam,a Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Homestay Perak, Noradidah Mokhtar berkata sukan tarik tali ini berpotensi menjadi satu tarikan kepada para pelancong yang memilih percutian di Homestay Gopeng.

“Kita mahu mengetengahkan sukan tarik tali kepada para pengunjung terutamanya kepada pelancong-pelancong luar negara. Sebelum ini, sukan tarik tali hanya popular dikalangan komuniti desa, di mana ianya dilangsungkan pada setiap majlis keraian seperti hari keluarga dan sukaneka.

“Penyertaan dibuka sehingga hari pertama pertandingan. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi Encik Zul di talian 010 860 9713. Yuran penyertaan sebanyak RM100 dikenakan untuk setiap pasukan,” ujarnya.

Johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala pusingan iaitu Piala Exco Pelancongan, naib johan RM700, ketiga RM500, keempat RM300 dan tempat kelima hingga kelapan RM100.