IPOH - Tidak tahu ke mana hendak dihumban perkakasan elektrik dan elektronik yang ada di rumah hingga semak mata memandang?

Jangan risau, kerana warga bandaraya Ipoh boleh menghantar barangan tersebut untuk ditukar menjadi wang pada program pengumpulan E-waste Siri ke-6 bagi bulan Oktober 2022.

Program kutipan dan pengumpulan ini akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober iaitu Sabtu dan Ahad.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan memaklumkan, waktu kutipan adalah pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Kata kenyataan itu, program E-waste ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad minggu ketiga setiap bulan sehingga 30 November depan.

"Orang ramai dijemput menyertai dan membawa buangan E-waste seperti laptop, komputer, telefon bimbit, peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh dan lain-lain kelengkapan elektrik.

"Bagaimana pun, ia tidak termasuk lampu terpakai dan bateri terpakai untuk ditukarkan kepada wang.

"Bagi meningkatkan penglibatan orang awam dan sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada peserta aktiviti pengumpulan E-waste, pihak MBI dengan kerjasama syarikat Edsha Solutions Sdn. Bhd. menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000 kepada semua peserta untuk dimenangi.

"Tambahan pula, semua peserta yang menghantar buangan elektrik dan elektronik (e-waste) kepada pihak kontraktor akan menerima token secara tunai mengikut harga yang telah ditetapkan," ujar kenyataan itu.

Pada masa sama, peserta juga berpeluang menyertai hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak RM33,000 pada peringkat negeri.

Untuk Maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Portal MBI atau JAS.