IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan kegiatan mencuri elektrik dan melindungi pendatang tanpa izin di Hutan Melintang menerusi operasi yang dilakukan baru-baru ini.

Operasi tersebut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ PDRM Perak dan dibantu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis negeri, Dato' Mohd Yusri Haji Hassan Basri memberitahu, seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun ditahan di sebuah premis perniagaan makanan sejuk beku di Hutan Melintang.

Menurut beliau, dia disyaki telah menggunakan elektrik secara haram melalui penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik TNB.

"Semasa serbuan dijalankan terdapat pintasan pada litar arus pendua S1 dan S2 bagi ketiga-tiga fasa pada terminal alat ubah dengan menggunakan wayar asing.

"Anggaran kerugian dari tahun 2019 yang dialami oleh pihak TNB adalah RM 1.3 juta," katanya semasa sidang akbar di sini kelmarin.

Polis juga turut menahan 57 warga asing iaitu 16 lelaki dan 41 perempuan.

Kesemuanya ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

Turut dirampas satu plastik mengandungi wayar asing berwarna hitam yang bersambung dengan satu kotak berwarna merah.

Serangkai kunci dipercayai kunci pagar terminal alat ubah pula dirampas dan telah diserahkan oleh pasukan SEAL TNB.

Suspek warga tempatan telah direman empat hari manakala kesemua warganegara asing direman di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 pula memperuntukkan hukuman denda tidak lebih seratus ribu ringgit, penjara atau kedua-duanya sekali.