IPOH: Pangsapuri atau rumah teres kosong di bandar raya ini dicadang untuk dijadikan inap desa atau tempat penginapan berkonsep seperti Airbnb.

Cadangan itu disuarakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang melihat ia penting bagi menampung kehadiran pengunjung ke Ipoh, yang semakin bertambah.

Rumaizi berkata, pertambahan kehadiran pengunjung dari China dan India ke sini juga dikhuatiri tidak mampu menempatkan mereka di hotel atau inap desa sedia ada.

"Masalah kita sekarang ini, kita mahu jadi bandar raya pelancongan. Tetapi kita baru nak ke arah itu, berbeza dengan Pulau Pinang, Melaka atau Cameron Highlands.

"Bilik di Ipoh ini hanya sekitar 7,800 bilik (hotel, tempat penginapan) sahaja, berbanding dengan tempat yang saya sebut tadi, mereka ada lebih 25,000 bilik.

"Pelancong kita di sini dijangka tahun depan hampir sama ramai dengan Melaka atau Pulau Pinang, kita akan ada masalah untuk tampung jumlah yang menginap.

"Saya rasa kalau mahu bina bangunan memang ambil masa, jadi untuk atasi dalam masa singkat saya syorkan jika ada rumah teres yang kosong atau pangsapuri untuk diubah kepada konsep inap desa atau Airbnb," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan September, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Khamis.

Rumaizi berkata, dengan cadangan itu sekurang-kurangnya pengunjung domestik boleh menginap di situ manakala dari luar negara menginap di hotel yang sedia ada.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata trend kini menunjukkan ramai orang berkunjung ke Ipoh, manakala hotel pula sentiasa penuh pada hujung minggu.

"Kalau hujung minggu pada Jumaat hingga Ahad memang hampir 100 peratus (hotel penuh). Yang kurang sedikit Isnin sampai Khamis.

"Tidak dinafikan di Ipoh pun kurang hotel, hotel lima bintang pun kita hanya ada satu berbanding dengan negeri pelancongan lain.

"Konsep Airbnb ini lebih kurang rumah yang disewakan kepada pengunjung dalam tempoh dua atau tiga hari," katanya.

Rumaizi berkata cadangan itu akan diperhalusi dan dibincang dalam masa terdekat bersama pihak yang berkenaan.

"Pasukan kita dari MBI akan berbincang dengan pengusaha perniagaan seperti persatuan hotel, hartanah dan sebagainya," katanya.

Mengulas berhubung isu tukang masak yang kian berkurangan di bandar raya ini, Rumaizi berkata situasi itu sedikit sebanyak merencatkan aktiviti pelancongan di sini.

"Ia ada kena mengena dengan COVID-19 sebab ramai tukang masak dari restoran Melayu merupakan pekerja dari Selatan Thailand, mereka tidak dapat kembali ke sini atas faktor itu.

"Masalah sekarang ialah pekerja tempatan ini tidak ramai yang mahir masak menu kegemaran seperti tom yam dan masakan panas lain.

"Kalau ramai pengunjung datang ke sini tetapi tidak ada tempat makan yang sediakan menu itu, atau lambat servisnya maka agak jejaskan sektor pelancongan.

"Kita perlu ada latihan untuk latih anak muda tempatan yang berminat masak untuk mereka mahir masak menu yang menjadi pilihan ramai, itu antara cara kurangkan masalah ini," katanya lagi.