IPOH: Memorandum persefahaman (MoU) Kajian Lanjutan Projek Rintis Gugusan Manjoi merupakan antara usaha kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan di bandar raya ini.

Ia bukan sahaja merangkumi Gugusan Manjoi yang selama ini diketahui sebagai perkampungan Melayu terbesar di Malaysia, bahkan meliputi kawasan lain di bandar raya Ipoh.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, MoU di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu adalah sebagai usaha memulihara khazanah yang bernilai di kawasan tersebut.

"Sebelum ini memang ada yang berpandangan sesetengah tempat itu perlu dikekalkan tetapi kita belum ada berdasarkan kajian.

"Justeru usaha yang dilakukan oleh MBI ini akan membantu kita membuat keputusan tepat, di mana produk yang boleh diketengahkan dan pulihara.

"Bukan sahaja sebagai kawasan tarikan pelancongan tetapi lebih penting untuk kekalkan sebagai warisan dan budaya untuk anak bangsa di masa depan," katanya.

Nolee Ashilin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas sesi MoU tersebut dan MoU Kajian Sejarah dan Morfologi Bandar Serta Penempatan Awal Masyarakat Melayu di Bandar Ipoh.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Prof. Madya Dr. Anas Md. Yusof serta Ahli Majlis MBI.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pembangunan di kampung Melayu terbesar itu seiring dengan keperluan semasa, Nolee Ashilin berkata pihaknya sentiasa peka dengan status tersebut.

"Selepas kita dapat keputusan daripada kajian itu, ia akan dinilai dan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk keputusan.

"Setelah itu baru kita buat perancangan untuk bangunkan kawasan terpilih.

"Gugusan Manjoi memang kita peka dan iktiraf ia sebagai kawasan Melayu terbesar di Malaysia. MBI juga memang berikan penekanan dari sudut pembangunan di situ, bersesuaian dengan status di situ.

"Kajian ini memperkukuh lagi lokasi warisan di kawasan pentadbiran MBI, bukan sahaja di Gugusan Manjoi tetapi merangkumi bandar raya Ipoh,"katanya lagi.

Terdahulu, dalam majlis itu turut diadakan pelancaran Kajian Sejarah dan Morfologi Bandar Serta Petempatan Awal Masyarakat Melayu di Bandaraya Ipoh.

Kajian itu dijalankan oleh lima orang penyelidik, iaitu tiga dari UniKL Royal College of Medicine Perak, seorang penyelidik bebas dan seorang dari UiTM Puncak Alam, Selangor.