IPOH: Kes demam denggi mencatatkan peningkatan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), dengan 371 kes dilaporkan sehingga 24 September (Minggu Epid:38).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peningkatan itu adalah sebanyak 170.8 peratus berbanding 137 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan perlu dipertingkat, susulan musim hujan berterusan yang boleh meningkatkan densiti nyamuk aedes.

"Dari 17 hingga 27 September, tiada lokaliti wabak dilaporkan.

"Ini adalah hasil kerjasama semua pihak dalam melaksanakan aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan berkaitan kesedaran denggi.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua Ahli Majlis, warga kerja MBI Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Pasukan 'communication for behavioural impact' (COMBI) setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan September, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Rumaizi berharap supaya penglibatan semua agensi serta badan sukarela yang bertungkus lumus selama ini dapat memastikan tiada lokaliti wabak denggi dalam kawasan pentadbiran MBI.