Isu peniaga Karnival Makanan dan Usahawan Perak Drag Racing dapat perhatian Ahmad Faizal
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 765
IPOH - Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan rintihan para peniaga kecil yang berniaga di Karnival Makan dan Usahawan sempena Perak Drag Racing Jamboree 2022.
Bagaimana pun, dimaklumkan bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun bukanlah penganjur program tersebut.
Permasalahan serta aduan para peniaga ini telah mendapat perhatian yang serius daripada Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di mana program tersebut telah diadakan di kawasan Parlimen beliau.
Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh memberitahu, pihaknya telah mengarahkan pegawai-pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun untuk segera mengadakan pertemuan dengan peniaga-peniaga yang terkesan ni.
Menurut beliau, ia sebagai tanda prihatin dan simpati dengan permasalahan serta kerugian yang ditanggung para peniaga ini.
"Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu melalui pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun telah memberi bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap peniaga tersebut bagi meringankan beban atas kerugian yang ditanggung oleh mereka.
"Dalam pertemuan tersebut, para peniaga telah meminta untuk bertemu pihak penganjur bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," jelasnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.
Oleh itu, pihak Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun telah mengusahakan untuk mengatur pertemuan antara para peniaga dan pihak penganjur.
Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri telah meminta jasa baik pihak penganjur untuk bertemu dan memulangkan semula duit sewaan tapak kepada para peniaga ini.
Jelas Mohd. Hafez Mubin lagi, hasil perbincangan dengan pihak penganjur, mereka memohon untuk tidak bersemuka namun akur dan bersetuju memulangkan semula duit sewaan tapak sebanyak RM1,200 kepada setiap peniaga ini.
"Pihak penganjur turut menyatakan permohonan maaf pada semua pihak atas semua kesulitan yang telah berlaku.
"Diharapkan semua perkara yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran pada pihak penganjur agar perkara sebegini tidak berulang lagi di masa mendatang," ujarnya.