IPOH - Mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP), Raja Nur Shazatul Aisyah dinobatkan johan Pidato Perak Sejahtera Piala YAB Menteri Besar Perak Tahun 2022 kategori Institusi Pengajian Tinggi kelmarin.

Beliau membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan, trofi dan sijil penyertaan pada acara yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Manakala Ahmad Shamel dari Universiti Malaya dan Afif Haikal dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh mendapat tempat kedua dan ketiga.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Bagi Kategori Sekolah, Azizul Zhafran Aliyuzar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City diumumkan johan untuk menerima wang tunai RM1,000, piala iringan, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Mugammad Aidil Ahmad Marzuki dari SMK Dato Kamaruddin dan Nur Amirah Najwa Zahari (SMK Seri Manjung).

Masing-masing menerima wang tunai RM800 dan RM500 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Acara pidato ini anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Perak bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai salah satu medium mempromosikan agenda Perak Sejahtera 2030.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad yang kemudian merasmikan majlis penutup.

Dalam ucapannya, beliau menyeru belia dalam semua peringkat umur untuk bersama-sama kerajaan negeri menyebarluaskan agenda semasa.

"Saya ingin memaklumkan bahawa saya sangat gembira supaya peserta-peserta peringkat akhir ini kita lantik sebagai duta kecil untuk turun menyampaikan maklumat dan pengetahuan berkenaan Perak Sejahtera ini," katanya.