1,100 penerima dapat agihan keuntungan ladang rakyat
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 1319
IPOH - Perbandanan Pembangunan Pertanian negeri Perak (Perak SADC) telah melaksanakan agihan keuntungan Ladang Rakyat kepada para penerima di tiga daerah pada Selasa dan Khamis lepas.
Seramai 200 penerima di Bagan Datuk mendapat durian runtuh pada agihan yang dijalankan di Dewan Tertutup Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bagan Datuk.
Setiap penerima mendapat agihan sebanyak RM300 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM60,000.
Majlis penyampaian agihan disempurnakan oleh Pengurus Besar Korporat Sosial Perak SADC, Mohd Zaid Zulkifli serta Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Ahmad Faiz Sakri.
Bagi penerima di Teluk Intan, majlis agihan bertempat di Dewan PDT) Hilir Perak.
Perak SADC telah menyumbangkan sebanyak RM60,000 kepada 200 penerima terdiri dalam kalangan masyarakat setempat dimana kesemuanya menerima wang agihan sebanyak RM300 setiap seorang.
Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin.
Turut hadir ADUN Changkat Jong, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin serta ADUN Pasir Berdamar, Terence Naindu.
Di Parit, seramai 700 penerima menerima agihan tersebut yang berlangsung di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Parit merangkap Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Dato’ Nizar Zakaria.
Hadir sama ADUN Belanja, Khairuddin Abu Hanipah.
Perak SADC mengharapkan sumbangan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban serta menampung perbelanjaan harian semua penerima tersebut.