Warga emas B40 di DUN Tebing Tinggi dialu-alukan mohon bantuan alat pendengaran
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 712
IPOH: Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dari keluarga B40 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, di sini, boleh memohon untuk manfaat Program Bantuan Alat Pendengaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari berkata program tersebut merupakan inisiatif pejabatnya dengan kerjasama dua penaja.
Abdul Aziz berkata, keutamaan alat bantuan itu adalah kepada warga emas yang tidak mempunyai anak, selain mengalami masalah pendengaran kekal sahaja.
Katanya lagi, memandangkan kos seunit alat itu yang agak mahal, buat masa ini hanya 10 alat pendengaran yang dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
"Oleh kerana bantuan alat pendengaran kuota terhad, ia akan diberikan kepada mereka yang mengalami masalah pendengaran kekal sahaja.
"Program ini mendapat kerjasama dua penaja yang menderma 10 unit alat pendengaran, lapan daripadanya diderma oleh 20dB Hearing Sdn Bhd.
"Satu unit berharga kira-kira RM10,000, memang mahal harganya dan sebab itu pemberian agak terhad.
"Program ini juga mendapat kerjasama dengan Hospital Pakar Ipoh, bagi tujuan menjalankan ujian pendengaran.
"Justeru, semua pemohon perlu pergi ke hospital tersebut untuk menjalankan ujian, dan pakar audiologi akan membuat keputusan untuk memilih warga emas yang paling layak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung program itu di Pusat Komuniti MP Ipoh Timor dan ADUN Tebing Tinggi, di sini pada Rabu.
Katanya lagi, sekiranya warga emas yang memohon itu layak, maka alat pendengaran itu akan diserahkan oleh Pejabat ADUN Tebing Tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata masalah pendengaran bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan komunikasi, tetapi juga membawa kepada perasaan kesunyian, syak wasangka, masalah mental dan psikologi yang lain seperti pengasingan sosial.
"Sebab itu, pejabat kami mengadakan bantuan ini untuk membantu warga emas yang memerlukan, dan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengambil berat tentang masalah pendengaran.
"Kami utamakan warga emas yang tiada anak atau sebatang kara kerana mereka lebih memerlukan berbanding yang punya keluarga.
"Saya dengan ini mengalakkan warga emas di DUN Tebing Tinggi yang mengalami masalah pendengaran, untuk mendapatkan alat pendengaran tersebut," katanya.
Permohonan program akan bermula Jumaat ini hingga 21 Oktober, pemohon perlu datang ke Pusat Komuniti MP Ipoh Timor dan ADUN Tebing Tinggi, bagi proses mengisi borang.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Hotline pejabat 010-393 2908 bagi mendapatkan maklumat lanjut.