MBI jalin kerjasama dengan Bursa Metropolitan Municipality Council, Turkiye, wujud Bandaraya Persahabatan
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 612
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sekali lagi mengorak langkah ke hadapan dengan jalinan kerjasama mewujudkan Bandaraya Persahabatan bersama Bursa Metropolitan Municipality Council, Turkiye.
Jalinan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Turkiye itu dizahirkan dengan kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Syarikat Orakci Makina, Ergun Sensoy serta Pengurus Jualan dan Pemasaran, Ceyhun Kan hari ini.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, banyak usahasama yang akan dirangka selepas ini khususnya daripada sudut pelancongan, pelaburan serta teknologi.
"Tujuan kehadiran mereka adalah membantu menjalinkan persahabatan di antara PBT di Turkiye itu.
"Di samping menyatakan hasrat dan minat untuk menjalin hubungan rasmi dengan MBI, mewujudkan Bandaraya Persahabatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas kunjung hormat itu di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Rumaizi berpendapat banyak kelebihan yang bakal diteroka menerusi jalinan berkenaan.
"Kita kena bergerak kepada pasaran baharu, kalau kita (Ipoh) ada hubungan baik dengan Turkiye, yang mana negara itu mempunyai pengaruh besar di Asia Barat dan Eropah Timur.
"Jadi melalui Turkiye, kita boleh bawa ramai lagi pelancong dari wilayah tersebut ke bandar raya ini," katanya.
Ujarnya lagi istilah Bandaraya Persahabatan itu diberi bagi merealisasikan hasrat saling melengkapi di antara dua PBT tersebut.
Katanya lagi, pihaknya akan ke negara yang terkenal dengan Masjid Hagia Sophia itu dalam masa terdekat, bagi membincangkan secara terperinci berhubung kerjasama itu.
"InsyaAllah kami (MBI) akan ke Turkiye dalam bulan Mac atau Mei tahun depan," katanya lagi.
Sementara itu, Ceyhun berkata, pihaknya berharap dengan kerjasama itu nanti akan memberi banyak impak positif kepada dua bandar raya khususnya dan negara amnya.
"Kami berharap kerjasama melalui Bandaraya Persahabatan ini akan membawa dua negara kepada kerjasama yang lebih besar di masa depan.
"Sudah tentu kita akan pastikan beberapa peluang lain seperti pelancongan dan sebagainya, kami akan bantu apa yang terbaik untuk MBI dan Turkiye," katanya.