Karnival Kerjaya PUO, disertai 20 industri, tingkat kebolehpasaran graduan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 783
IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, melalui Unit Kebolehpasaran dan Kerjaya (CISEC) telah menganjurkan Karnival Kerjaya PUO 2022 semalam, dengan kerjasama 20 industri dan agensi kerajaan.
Objektif karnival itu antara lain adalah untuk menyediakan graduan yang holistik dan memenuhi keperluan industri.
PUO menerusi kenyataan pada Khamis memberitahu, selaras dengan usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, penyertaan daripada pelbagai industri itu akan meningkatkan kerjasama ke satu tahap yang lebih tinggi.
Di samping menyediakan platform dan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya yang dapat mereka peroleh dalam industri serta sektor awam selepas tamat pengajian.
"Karnival itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Dr. Mohd Nor Azam Mohd Dali.
"PUO mengorak langkah untuk berganding bahu bersama industri dan badan kerajaan di seluruh negara untuk menyediakan ruang dan peluang bagi membantu dalam kebolehpasaran graduan dan komuniti seiring dengan kehendak semasa industri.
"Menyedari bahawa negara kini berada di era revolusi perindustrian 4.0, graduan perlu menghadapi gelombang transformasi.
"Sejajar keperluan industri 4.0 yang menitikberatkan penguasaan eleman 4C iaitu pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi dan kreatif," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, PUO telah berusaha dalam meningkatkan kolaborasi strategik, dengan mengorak langkah bersama rakan industri dan agensi kerajaan berkaitan teknologi mencakupi semua bidang.
"Kerjasama kesemua sektor ini merupakan perubahan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Sempena karnival kerjaya ini, turut diadakan seminar kerjaya bersama Perkeso Negeri Perak, Seminar Upskilling Yourself oleh Perak Entrepreneur & Skills Development Centre (PESDC) dan Seminar Your Way Forward After Diploma oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP).
"Termasuk Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Seminar Investing oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sesi khas bersama UniKL," katanya.
Antara rakan industri yang terlibat dalam karnival kerjaya ini seperti Plexus Manufacturing Sdn Bhd, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Home Product Center (M) Sdn Bhd, Kamaya Electric(M) Sdn Bhd, Murata Electronics (M) Sdn Bhd, Schlumberger dan Intel Malaysia.