IPOH - Buntong yang lebih dikenali sebagai tempat jualan kacang putih bukanlah nama asing dalam peta pelancongan negeri Perak khususnya Ipoh.

Malah dikatakan kacang putih terbaik di Malaysia berasal dari sini yang telah sinonim dengan masyarakatnya di Kampung Kacang Putih

Kacang putih juga menjadi simbol masyarakat kampung berkenaan yang letaknya kira-kira lapan kilometer dari Pusat Bandaraya Ipoh.

Disebabkan itu juga, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggerakkan kempen dan program kebersihan di sebelah sini demi mengekalkan daya tarikan tersebut.

Ia juga selari dengan matlamat meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Daud berkata, antara inisiatif ini ialah melalui program penyerahan tong sampah percuma kepada komuniti di kawasan itu.

Katanya, ini termasuklah di kawasan perniagaan kacang putih yang merupakan lokasi popular di Ipoh.

"Selepas penyerahan tong sampah ini, MBI akan terus memantau dan menggerakkan program ini untuk menjadikan Zon 7 di kawasan Buntong ini menjadi zon contoh.

"MBI dengan kerjasama Ahli Majlis MBI juga akan memastikan kempen kebersihan ini akan digerakkan di seluruh kawasan Buntong," ujar beliau.

Terdahulu, Rumaizi telah mengadakan lawatan ke kedai kacang putih yang berhampiran dna menyerahkan tong sampah kepada pemilik.

Ia turut dihadiri Kaunselor (Clr) Ganesan Athinarayanan, Clr. Jayagopil M. Subramaniam, Clr. Jaya Ganesh Selvaraju dan Clr. Thilak Raj Gunasekaran.

Sejumlah 739 unit tong sampah telah diagihkan kepada penduduk di Teluk Kurin A dan B dan Buntong 1 dan 2 atau lebih di kenali sebagai Kampung Kacang Putih.

Program ini merupakan suatu program kebersihan yang digerakkan untuk menggalakkan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar.