IPOH - Adalah menjadi tanggungjawab bersama komuniti dan penduduk setempat menjaga tong sampah percuma yang diagihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk tidak menjadi mangsa vandalisme.

Selain itu, tong sampah jika diletakkan di luar rumah pula janganlah dicuri kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu menyusahkan pengguna selain tidak bermoral.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Daud berkata, pada masa sama pengguna juga hendaklah memanfaatkan tong sampah tersebut dan bukannya disimpan di dalam rumah.

Ini kerana katanya, tujuan tong sampah itu diberi adalah untuk memudahkan komuniti mengumpul sampah sebelum diambil oleh pekerja pembersihan.

"Memang saya akui ada penerima tak guna tong sampah ini, jadi sepatutnya gunakan sepertimana yang sepatutnya.

"Iyalah, pemilik juga perlu menjaga tong sampah jadi janganlah pula ada pihak yang mencuri kerana itu telah menjadi kesalahan selain menimbulkan masalah," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan tong sampah percuma kepada pemilik kedai kacang putih di Kampung Kacang Putih, Buntong pagi tadi.

Dalam pada itu kata Rumaizi lagi, sehingga 16 Oktober, MBI telah mengedarkan tong sampah kepada 38,036 unit rumah kediaman di sekitar Bandaraya Ipoh.

Ia melibatkan 84 buah taman perumahan dan kawasan kejiranan.

Menurut beliau, sehingga hujung tahun ini pihaknya mensasarkan untuk mengagihkan 40 peratus daripada jumlah tong sampah yang diperuntukkan.

"Program pada pagi ini akan membantu MBI mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat yang merupakan matlamat kerajaan yang telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh.


"Hasrat kita adalah untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya BESTARI SEJAHTERA serta Bandar Terbersih 2023 di Malaysia tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrasturktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.

"Sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah kearah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar," ujarnya.