IPOH: Sempena menjelang perayaan Deepavali, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah ketinggalan menyampaikan sumbangan khas kepada 50 orang kakitangan kaum India.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna dan meriah kerana semua kaum dapat meraikannya dalam suasana meriah seperti mana sebelum negara dilanda krisis pandemik Covid-19.

“Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu, semua perayaan disambut hambar dan tidak meriah ditambahi pula faktor ekonomi terjejas teruk.

“Justeru itu, MBI telah mengambil inisiatif mewujudkan Program MBI Prihatin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lebih RM3 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan bebanan penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka yang terkesan dalam situasi pandemik, endemik Covid-19 dan masih diteruskan sehingga kini.

“Diharapkan penerima sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu persiapan menyambut Deepavali yang semestinya akan diraikan bersama-sama keluarga dan sahabat handai,” katanya selepas Program Penyampaian Sumbangan Khas MBI Prihatin Untuk Anggota Majlis dan Ahli Majlis Sempena Sambutan Hari Deepavali Tahun 2022 di Bilik Gerakan, MBI, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Clr. A.Ganesan, Clr. S.Jaya Ganesh, Clr. G. Thilak Raj Gunasekaran, Clr. Abu Bakar Hussian, Ahli Majlis MBI dan Ketua Jabatan MBI.