BATU KURAU - Seramai 1,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah diberi latihan senjatapi bagi kesiapsagaan mereka bertugas di sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, latihan tersebut dibuat dengan pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, ini merupakan salah satu daripada modul latihan bagi memahirkan anggota Rela dalam pengendalian senjatapi.

"Penggunaan senjatapi ini bagaimanapun hanya apabila mereka terbabit dalam operasi di kawasan berisiko.

"Rela akan bekerjasama dengan PDRM mengikut kaedah penggunaan senjatapi yang betul dan ditetapkan oleh pasukan penguat kuasa itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada program tanggungjawab sosial korporat Rela di Kampung Bukit Bertam di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Hamzah, setakat ini setelah hampir setahun anggota Rela bertugas menjaga sempadan, beberapa kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dikesan.

Katanya, sepanjang November lalu hingga Oktober ini sebanyak empat kes tangkapan dibuat melibatkan penyeludupan PATI iaitu di Morib, Selangor dan Kalabakan (Sabah).

"Kejayaan tersebut membuktikan Rela turut memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan," ujarnya.